Gaya HidupMotivasi

Wanita Mangsa Keganasan Perhubungan Cinta!

perhubungan cinta - women online magazine

Meskipun dunia semakin moden, namun masalah yang  berkaitan dengan keganasan dalam perhubungan cinta tidak pernah berakhir!

Tak kiralah sebagai kekasih, ataupun suami, sebagai pasangan yang anda cintai, dia seharusnya mengasihi serta melindungi anda dengan setulus hati. Bukan mengongkong, cemburu buta serta tergamak melakukan sebarang kekerasan fizikal dan juga mental sehingga membuatkan anda terseksa serta menderita.

Siapakah yang biasanya sering menjadi korban? Jawapannya, dah tentulah kaum wanita! Sungguh pun begitu, ini tidak bermakna kaum lelaki terlepas daripada menjadi korban keganasan dalam perhubungan cinta, cuma jumlahnya amat sedikit. Ini adalah kerana kaum lelaki sering menganggap kaum wanita, insan yang  lemah dan senang untuk diperkotak-katikkan!

Perilaku atau tindakan seseorang boleh dikategorikan sebagai tindakan keganasan dalam percintaan atau perhubungan apabila salah satu pihak merasakan terpaksa, tersinggung dan disakiti oleh pasangannya. Suatu tindakan itu akan  dikatakan ‘ganas’ apabila telah melukai seseorang,  baik secara fizikal mahupun psikologi. Sebagai contoh,  apabila yang menyakiti itu adalah kekasih anda, jadi perbuatan tersebut boleh dikategorikan sebagai perbuatan ‘ganas’ dalam perhubungan cinta.

Perbuatan melukai secara fizikal adalah seperti memukul, bersikap kasar, perkosaan dan sebagainya. Manakala menyakiti secara psikologi pula ialah seperti si dia menghina anda, selalu menilai kelebihan orang lain tanpa melihat kelebihan yang anda miliki, cemburu yang berlebihan dan sebagainya. Namun, bentuk keganasan yang paling kerap terjadi ialah keganasan seksual, iaitu penderaan seksual secara ‘verbal’ mahupun fizikal, memaksa melakukan hubungan seks dan sebagainya.

Menghadapi keganasan dalam perhubungan cinta adalah amat sukar bagi sesiapa sahaja yang mengalaminya. Malahan, ramai wanita beranggapan perhubungan yang didasari perasaan cinta, simpati dan sayang serta perasaan-perasaan lain begitu tulus dan suci. Bahkan, jika si dia mula marah-marah, memberontak atau naik ‘tangan’, anda mungkin beranggapan si dia tertekan, ‘bad mood’ atau mungkin kerana kesilapan anda sendiri yang membuatkan si dia naik angin. Sampai macam tu sekali apabila perasaan sayang sudah bertimbun-timbun di hati!

Alasan yang sering muncul dalam benak fikiran anda, adalah perasaan menyalahkan diri sendiri dan merasakan ‘wajar’  diperlakukan begitu. Tanggapan seperti “Nak buat macam mana, dah memang aku yang salah. Aku yang buat dia naik angin”, “Mungkin juga kerana aku nie kurang sabar”, dan sebagainya  membuatkan pasangan anda  menjadi ‘ketagih’ untuk merendahkan dan terus melakukan keganasan terhadap anda.

Mangsa yang sering menjadi korban dalam keganasan perhubungan, biasanya cenderung lemah, kurang keyakinan diri, dan sangat mencintai pasangannya. Selalunya, setelah melakukan kekerasan atau keganasan (memukul, menampar dan sebagainya) terhadap pasangannya, si kekasih akan terus menunjukkan sikap menyesal, meminta maaf dan  berjanji untuk tidak akan  mengulangi lagi perbuatannya itu, serta cuba bersikap manis.

Pada ketika inilah kerana terlalu mencintainya, dan berharap si dia benar-benar insaf, maka mudah sahaja anda memaafkannya, dan berharap agar hubungan kembali terjalin seperti biasa. Pada hal, keganasan tersebut berpola dan ada kitarannya. Seseorang yang memang pada umumnya mempunyai kebiasaan bersikap kasar pada pasangan, akan ada kecenderungan untuk mengulanginya lagi kerana perkara ini sudah menjadi sebahagian dari keperibadian hidupnya, dan merupakan salah satu caranya menghadapi konflik atau masalah.

  • Bolehkah  Pasangan Anda  Berubah?

Jawapannya, tentulah BOLEH! Itu pun sekiranya dia mahu menjalani sebuah ‘terapi’. Terapinya tidak memadai dengan  psikologi atau psikiatri, sebaliknya harus dengan kemahuannya yang ikhlas untuk merubah situasi, dan dengan bantuan pasangannya. Perkara pertama yang harus dia fahami, adalah sebab atau latar belakang yang menyebabkan si dia berkelakuan seperti itu.

Apakah ada kaitan dengan sejarah kedua ibu bapanya yang hitam? Atau ada perkara-perkara lain yang berkaitan dengan tindakan keganasan yang dialaminya sewaktu kanak-kanak? Sejarah tersebut boleh digunakan untuk mencari punca atau penyebab utama, mengapa si dia menggunakan cara menghadapi masalah seperti itu, sehingga boleh menguatkan keupayaan dia untuk berubah.

Selain itu, si dia juga perlu berlatih untuk menghadapi emosi, mengendalikannya sehingga tidak muncul dalam bentuk yang merosakkan dan merugikan diri sendiri dan juga pasangannya. Terdapat banyak latihan yang boleh mengendalikan rasa marah atau emosi, seperti yoga, latihan pernafasan dan sebagainya.

  • Macam Mana Jika Pasangan Anda Enggan Berubah?

Jika si dia tetap juga tidak mahu berubah, bermakna keputusan tersebut terletak pada diri anda. Apakah anda sedia  mengambil risiko dengan terus menjalinkan hubungan dengan orang seperti itu, atau segera mengambil keputusan untuk meninggalkan si dia dan cari orang lain yang lebih sihat mentalnya dan tulus mencintai anda.

Jika kekasih anda termasuk dalam kategori tersebut, anda memang harus berfikir masak-masak, apakah si dia benar-benar  lelaki yang anda  cintai? Percayalah, tidak ada satu pun orang dunia ini yang berhak untuk  menyakiti anda, atau merasakan mempunyai alasan untuk bersikap kasar kepada anda sekalipun si dia itu adalah lelaki yang paling anda cintai. Jadi, jika perkara seumpama ini menimpa diri, anda harus yakin bahawa hidup anda adalah milik anda sendiri, dan keputusan untuk tetap menjalinkan hubungan tersebut atau tidak, semua itu bergantung pada diri anda sendiri!

Foto: Sekadar gambar hiasan

<< Ingin tahu tips melatih otak agar lebih kreatif serta menjaga kesihatan otak supaya dapat terus berfungsi dengan baik? Klik link ini.

 

 

 

 

Share and Enjoy !

0Shares
0 0 0
Previous post

Resepi Oreo Cheesecake Kukus

Next post

Kebaikan Hubungan Seks Sihat

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *