Selera

Resepi Nasi Kunyit Cicah Rendang Daging

Nasi Kunyit - Women Online Magazine

Nasi kunyit atau lebih dikenali sebagai pulut kuning sebenarnya telah lama menjadi lambang dan juga adat dalam upacara tradisional.Ia sering disediakan pada majlis perkahwinan, pertunangan, akikah, berkhatan dan kenduri kesyukuran.

Pada zaman dahulu, nasi kunyit menjadi persembahan bagi aktiviti pemujaan, perubatan dan juga tolak bala. Namun dengan kesedaran agama yang semakin berkembang, amalan-amalan khurafat tersebut sudah semakin hilang. Fungsi nasi kunyit juga berubah, bukan hanya sekadar sebagai simbol kesyukuran, ia juga merupakan tanda terima kasih keluarga tuan rumah kepada tetamu.

Ada setengah pendapat mengatakan bahawa warna kuning ini adalah berkait rapat dengan warna di Raja dalam kesultanan Melayu dan dilihat sebagai simbol penghormatan yang tinggi. Oleh itu, ia hanya dihidangkan di majlis-majlis istimewa sahaja.

Kelebihan Kunyit

  • Membantu pemnyembuhan dan pembentukan semula kulit yang luka.
  • Menghalang kanser payudara merebak ke bahagian paru-paru.
  • Mengurangkan risiko kanak-kanak diserang leukemia.
  • Bertindak sebagai anti radang yang membantu anda membuat kerja tanpa sebarang kesan sampingan.
  • Dipercayai membantu mengurangkan masalah berat badan.
  • Meningkat metabolisme lemak dalam badan.
  • Bagi wanita yang mengalami masalah senggugut, anda disarankan mengambil kunyit.
  • Boleh mencegah kulit dari cepat berkedut.

 

Resepi Nasi Kunyit Bersama Rendang Daging

Nasi Kunyit

Bahan-bahan:

  • 2 kg beras
  • 2 camca besar serbuk kunyit
  • 1 keping asam gelugor
  • Air secukupnya
  • 500 ml santan pekat
  • Garam secukup rasa
  • 1 helai daun pandan (disimpul)

Cara Memasak:

  1. Pulut dicuci, kemudian masukkan ke dalam bekas, tuang air sehingga pulut tenggelam, tambah serbuk kunyit dan kacau rata. Masukkan asam gelugor dan biar pulut terendam semalaman atau sekurang-kurangnya 8 jam. Kemudian toskan dalam penapis dan keluarkan asam gelugor.
  2. Panaskan pengukus, ambil bahagian atas kukus (yang berlubang). Alas bawahnya dengan tudung periuk. Pastikan saiznya menutup lubang-lubang kukus, dan tudung periuk dalam keadaan.
  3. Kemudian tuang pulut yang anda toskan tadi ke dalam pengukus. Ratakan dan biar sekejap. Letak daun pandan dan angkat kukus berisi pulut dan terus letak atas air mendidih. Tutup dan kukus selama 25 minit.
  4. Sementara itu, bancuhkan garam dengan santan pekat, kacau rata. Angkat pulut dari kukus dan alihkan ke dalam bekas besar. Curahkan santan pekat sedikit demi sedikit atas pulut dan gaul rata. Buat hingga santan habis.
  5. Masukkan kembali pulut dalam kukus dan sambung kukus selama 25 hinnga 30 minit atau sehingga pulut masak dan lembut. Boleh sedia dihidangkan.

 

Rendang Daging

Bahan-bahan:

  • 2 kg daging lembu pejal, dipotong kiub, cuci dan toskan
  • 2 kuntum bunga kunyit (hiris halus)
  • 2 helai daun kunyit (hiris halus)
  • 5 helai daun limau purut
  • 2 liter santan
  • Air panas secukupnya
  • 5 camca besar kerisik
  • 4 camca besar rempah kari daging
  • Cili kisar
  • 3 keping asam gelugor
  • 2 camca besar hirisan gula melaka
  • Garam secukup rasa

Bahan-bahan kisar:

  • 2 biji bawang besar
  • 10 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 10 biji buah keras
  • 1/2 inci belacan
  • 2 inci kunyit hidup
  • 30 biji cili padi
  • 12 batang serai (hiris halus)

Bahan-bahan tumis:

  • 1 batang kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 8 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji buah pelaga
  • 5 biji bawang merah (hiris halus)
  • 2 ulas bawang putih, (hiris halus)

Cara memasak:

  • Satukan bahan kisar halus bersama rempah kari, kacau rata hingga sebati.
  • Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan-bahan tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing.
  • Masukkan rempah kari dan bahan kisar halus tadi dan masak hingga terbit minyak dan rempah garing, guna api sederhana dan kacau selalu.
  • Masukkan daging dan kacau rata. Masak hingga daging kecut. Tuang santan, kacau dan biar mendidih hingga pekat.
  • Masukkan garam (sedikit dahulu), kerisik, asam gelugor dan daun limau purut. Kacau rata dan terus memasak hingga sedikit kering. Kalau masa ini daging masih agak keras, tuang sedikit air panas dan sambung masak, guna api kecil.
  • Masukkan gula melaka dan sedikit lagi garam. Kacau rata dan masak hingga rendang kering tapi masih lembap.
  • Masuk hirisan bunga dan daun kunyit, gaul rata dan masak lagi.  Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  • Hidangkan bersama nasi kunyit yang siap dimasak tadi.

Kredit foto: salam2benua.files.wordpress.com

<< Dapatkan resepi popia basah di sini.

 

 

Share and Enjoy !

0Shares
0 0 0
Previous post

5 Tips Perbaiki Hubungan Intim Yang Dirasakan Kurang ‘Menyengat’

Next post

Ini Dia Penyelesaian Bagi Masalah Rambut Rosak

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *