ProblemSihat

Denggi Meragut Nyawa! Hapuskan Aedes, Cegah Denggi

demam denggi - women online magazine

Banyak yang perlu anda tahu tentang demam denggi atau gejala demam berdarah ini.

Penting kerana demam denggi termasuk dalam kategori demam berbahaya yang boleh meragut nyawa jika lambat dirawat. Jadi, jangan ambil mudah!

Apa Itu Demam Denggi?

Demam denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang boleh membawa maut tidak kira peringkat umur samada kanak-kanak mahupun dewasa. Penyakit ini berpunca daripada gigitan nyamuk Aedes dan biasanya berlarutan selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya. Paling membimbangkan demam denggi ini boleh membawa maut jika tidak dirawat dan dicegah.

 

Bagaimanakah Terjadinya Demam Denggi?

Vektor demam denggi adalah nyamuk Aedes betina. Nyamuk yang telah dijangkiti membawa virus denggi di dalam badannya. Kemudian,virus ini dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan menular di dalam aliran darahnya,lalu tercetusnya penyakit demam denggi.

 

Jenis-Jenis Penyakit Denggi

  • Demam Denggi Klasikal

Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam ini juga dikenali sebagai ‘demam patah tulang' atau ‘breakbone fever'.

  • Demam Denggi Berdarah

Biasanya demam ini terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur dua hingga 13 tahun. Pada tahap awal (selama 2 hingga 4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah disertai dengan sawan dan paling teruk adalah tidak sedar diri. Ia juga sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera.

 

Tanda-tanda Anda Terkena Demam Denggi

  • Demam kuat secara mengejut dan berterusan
  • Ruam selalunya akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam
  • Sakit tulang, otot, sendi, biji mata dan kepala
  • Sakit Perut
  • Muntah dan kurang selera makan
  • Pendarahan pada badan, hidung dan mulut

 

Bagaimana Cara Untuk Mencegah Denggi?

  1. Musnahkan tempat pembiakan nyamuk dengan menyalin air dalam tempayan, pasu-pasu bunga, kolam mandi, tiap-tiap minggu dan basuhlah sehingga bersih sebelum mengisi air yang baru.
  2. Tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur.
  3. Bekas yang tidak digunakan hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong sampah atau ditanam.
  4. Periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan daun yang menyekat air daripada mengalir
  5. Masukkan garam sebanyak dua sudu teh ke dalam perangkap semut untuk mencegah pembiakan nyamuk.
  6. Peliharalah ikan seperti ikan gapi, puyu di dalam tangki besar kerana ia akan memakan jentik-jentik.
  7. Masukkan ubat pembunuh jentik-jentik (mengikut sukatan yang betul) ke dalam semua bekas menyimpan air, iaitu tiga bulan sekali.
  8. Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk dengan memakai pakaian yang tertutup dan juga pasangkan jaring nyamuk untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.

 

Apakah Rawatan Yang Diberi Untuk Demam Denggi?

Sebenarnya tiada ubat-ubatan yang khusus untuk merawat demam denggi. Namun, sekiranya pesakit itu mengalami demam denggi berdarah,pesakit perlu dimasukkan ke dalam wad. Rawatan awal boleh mengelakkan kematian dengan kadar kurang daripada 1%. Pesakit akan diberikan rehidrasi untuk memastikannya tidak mengalami renjatan.

 

Rawatan Demam Denggi Klasikal

Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu, mengurangkan demam (suhu badan) dan mengelakkan perdarahan daripada berlaku.

Rawatan Demam Denggi Berdarah

Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah akan menyebabkan dehidrasi. Demam yang sangat panas akan meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik. Selain itu,pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak.

 

Petua Tradisional Sembuhkan Demam Denggi

Anda boleh menjadikannya petua ini sebagai petua sampingan sampingan jika menghidap demam denggi

  • Sup ketam

Pesakit demam denggi akan mengalami sindrom penurunan platelet yang ketara dalam tempoh beberapa hari selepas dijangkiti virus tersebut. Dalam kes denggi berdarah, platelet mungkin akan jatuh ke tahap paling minima, yang akhirnya membawa maut kepada pesakit. Oleh itu,pengambilan sup ketam akan menyebabkan platelet pesakit naik mendadak dan sekali gus menyembuhkan mereka dengan kadar yang sangat cepat. Ini kerana ketam mengandungi sejenis protein yang tinggi iaitu dapat membantu pembinaan semula platelet darah yang hilang akibat virus denggi. Caranya adalah pesakit demam denggi akan minum dan makan isi dan kuah satu mangkuk besar sup ketam.

Jus daun betik juga dikatakan mujarab sebagai penawar denggi dengan menumbuk daun betik sehingga lumat dan dapatkan jusnya. Kemudian berikan satu sudu kecil jus daun betik kepada pesakit demam tinggi tersebut. Namun anda diingatkan supaya jangan mengambil jus tersebut melebihi had kerana tekanan darah anda akan turun.

Kesimpulan

Demam Denggi boleh membahayakan kesihatan seseorang oleh itu kita hendaklah peka akan tanda-tanda Demam Denggi dan mengetahui cara untuk mencegahnya. Mencegah lebih baik daripada merawat!

Kredit foto: recruitmentagencynow

<< Ketahui penyebab mata kerap berair di sini.

Share and Enjoy !

0Shares
0 0 0
Previous post

Kotex® Luxe Ultrathin Menyerap 3x Lebih Pantas

Next post

Perut Buncit Lepas Beranak? Pakailah Bengkung!

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *