BuzzzStail

Jom, Berkenalan Dengan Jay Walia ‘Penglipur Lara Romantik Eklektik’

Jay Walia - Women Online Magazine

Alunan gamelan bersertakan irama gitar elektrik dan lirik yang ikhlas dan tulus dari hati telah disatukan dan menghasilkan sebuah melodi yang menarik, itulah yang ingin disampaikan oleh artis ‘Rhythm and Blues’ atau R&B baru, Jay Walia.

Jejaka yang berasal daripada Subang Jaya ini telah membuat penampilan sebagai artis buat julung kalinya pada tahun 2007 apabila lagu pertamanya berjudul ‘My Girl’ telah dikeudarakan di beberapa buah stesen radio tempatan dan juga telah dicalonkan di anugerah Voice International Music Awards (ViMA) pada 2009.

Masa untuk berkarya ternyata terhad apabila beliau harus menyambung pelajarannya dan mula bergelar mahasiswa, namun selepas berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang perundangan dari Universtiy of London pada tahun 2011 nalurinya untuk berkarya tidak mampu lagi dibendung maka bermulalah perjalanan beliau untuk meneruskan karya di dalam bidang muzik.

November 2012 telah menyaksikan Jay Walia muncul kembali di arena muzik tanah air dengan pelancaran EP ‘Afterhours At The Embassy’. Selain itu, beliau juga telah dicalonkan di anugerah Shout! Awards 2013 dan berjaya meraih anugerah ‘Break Out Award’ yang dikhaskan buat artis baru terbaik.

Mendapat inspirasi dari penyanyi antarabangsa seperti Justin Timberlake, Miguel, Craig David, Adam Levine dan juga Altimet yang merupakan pengaruh utama yang banyak menyumbang ke arah pembangunannya sebagai seorang artis, Jay Walia, yang dibesarkan dengan lagu-lagu Nasyid dan Hindi sebagai santapan minda kini mampu membuka pintu kreativitinya kepada pelbagai jenis bunyi dan melodi. Hasil karya yang ingin ditampilkan kepada semua telah pun disatukan di dalam album sulung beliau di dalam bahasa Melayu yang bertajuk ‘Romantik Eklektik’ yang telah dilancarkan pada hari ini.

‘Bidadari’ merupakan single pertama yang dipetik dari album “Romantik Eklektik” adalah sebuah kolaborasi bersama artis tanah air terkemuka iaitu Altimet telah diterima baik selepas menerima putaran yang memberangsangkan di stesen-stesen radio tempatan.

Lagu ‘Cinta Luar Biasa’ pula telah menampilkan Iqa yang merupakan pemenang tempat ketiga di dalam rancangan realiti TV iaitu Mentor musim ke-5, yang juga kini merupakan penyanyi utama dalam kugiran pop-rock, VelvetBand.

Menempatkan 8 buah gubahan yang dinukil dan dipena sendiri, “Romantik Eklektik” mengisahkan tentang seorang jejaka di alam percintaan yang meluahkan isi hati dan fikirannya dan menterjemahkannya kepada muzik lalu manghasilkan kerja yang unik; eklektik.

Menggelar dirinya sebagai seorang ‘seniman’ atau ‘penglipur lara’, Jay Walia mendambakan agar karyanya didalami sebagai satu hikayat yang diceritakan melalui lagu dan mampu membawa si pendengar melalui suatu ekspidisi bersamanya.Pelancaran album terbaru ini menandakan titik permulaan pengembaraannya dalam persada seni tanah air. Berbekalkan bakat dan impian sebesar imaginasi beliau, disertakan dengan semangat yang membara, tiada rintangan yang mampu menghalang Jay Walia daripada mengejar impiannya. “Romantik Eklektik” oleh Jay Walia merupakan satu lagi edaran daripada Warner Music (M) Sdn Bhd.

<< Ketahui cerita tentang kompilasi album hebat Mawi dan Raihan di sini.

Share and Enjoy !

0Shares
0 0 0
Previous post

Kurangkan Berat Badan Dengan Khasiat Lada Hitam

Next post

Senaman Untuk Kuruskan Badan & Turunkan Kolesterol

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *