Dura Terpaksa Lahirkan Anak Luar Nikah
Kredit Foto: princessinthetower.org
Anak Luar Nikah. Kesilapan dan keterlanjuran wanita yang mahu dirinya dikenali dengan nama Dura, 21, pada zaman remajanya yang lalu telah menjerat dan menghancurkan seluruh masa depannya. Ikuti pengakuan Dura menerusi e-mel yang dikirimkan kepada WOM.my
“Kehidupan saya telah rosak sejak di tingkatan dua lagi. Tak saya nafikan, suasana persekitaran tempat tinggal yang tidak sihat telah membuatkan jiwa remaja saya menjadi cepat terpengaruh serta terikut-ikut dengan retak teman sebaya yang terdiri daripada anak-anak setinggan.
Terlalu mudah untuk saya terjebak dengan rencah kehidupan yang tidak elok. Kenakalan saya juga bukan setakat ponteng sekolah, mabuk, lari dari rumah, mengambil pil estacy, merokok dan merempit sana sini dengan mat-mat motor serta bergaduh sesama sendiri. Bahkan turut terlibat dalam aktiviti seks bebas.
Masalah Keluarga
Saya tidak betah tinggal di rumah pada ketika itu kerana ibu dan ayah kerap bergaduh.Ibu juga sering melampiaskan perasaan geramnya terhadap ayah kepada saya tiga beradik. Saya tidak tahan dan memberontak sehingga saya mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Saya sudah penat untuk berhadapan dengan masalah ibu dan ayah pada setiap hari.
Jika dahulu saya tak balik rumah dalam dua tiga hari, melepak tak tentu hala dengan kawan-kaawan. Tetapi pada suatu hari saya betul-betul nekad untuk meninggalkan rumah buat selama-lamanya. Tiada gunanya jika saya terus tinggal bersama ibu dan ayah, kalau mereka sendiri seakan benci dan tidak menyenangi anak-anaknya. Di mata mereka, terutama saya dilihat seperti musuh, pencetus masalah ibu dan ayah. Jadi, lebih baik saya ‘angkat kaki’.
Hilang Minat Belajar
Keinginan untuk meneruskan persekolahan memang tak ada. Hari-hari dalam otak, rasa bosan sahaja bila memikirkan sekolah. Kepala asyik ingat nak bebas dan seronok sahaja dengan kawan-kawan. Saya pun tak pasti samada ibu dan ayah kecewa dengan perangai saya sebab mereka memang tak pernah nak ambil tahu.
Akibat didorong perasaan kecewa dan sakit hati, perangai liar saya semakin menjadi-jadi. Sejak keluar dari rumah, saya tinggal bersama kawan-kawan ‘sekepala’ dan meneruskan hidup demi sesuap nasi dengan menjual tubuh!
Disebabkan terlalu bebas dalam pergaulan seharian, akhirnya tanpa diduga saya telah mengandung. Sumpah! Saya tak pasti saya mengandungkan anak siapa sebab terlalu ramai sangat lelaki yang telah meniduri saya.Pada mulanya saya ingin mengugurkan kandungan tersebut, tetapi sudah terlambat kerana benih itu telah bercambah kuat di dalam rahim saya, mencecah empat bulan.
Berbadan Dua
Sejak mendapati diri saya berbadan dua, kehidupan saya terus menjadi tidak tentu arah. Tiada lelaki yang sudi ‘membeli’ dengan perut saya yang semakin memboyot. Kawan-kawan baik saya pula semakin menjauh. Mereka menyalahkan saya kerana tidak pandai ‘makan dan menyimpan’. Pelbagai cara yang telah saya lakukan untuk menghapuskan janin tersebut, namun usaha saya itu tetap tidak membuahkan hasil.
Betapa besarnya kuasa Tuhan, tiada siapa yang mampu menghalang atas apa jua kehendakNya. Dan dengan izinNya juga saya telah bertemu dengan seorang wanita yang sangat baik hati sewaktu merayau-rayau kelaparan. Melalui pertolongan beliau, akhirnya saya bertemu dengan cahaya keinsafan.
Bertemu Cahaya Keinsafan
Banyak yang telah saya pelajari sepanjang tempoh berada di rumah perlindungan wanita itu. Daripada sejahil-jahil manusia, kini allhamdulillah…. saya cuba perbaiki segala kekurangan diri. Jiwa yang dahulunya dipenuhi nafsu dan keseronokkan duniawi, kini kian terisi dengan ilmu-ilmu akhirat. Jika mengenang kisah lalu, berjuraian airmata ini. Betapa berdosa dan hinanya diri ini. Jauh di sudut hati, saya memang rindukan ibu, ayah, adik-adik dan anak yang telah saya kandungkan selama sembilan bulan itu.
Saya tidak mampu menolak cadangan supaya bayi saya itu diserahkan kepada sepasang suami isteri yang dikatakan telah berkahwin selama 10 tahun, tetapi masih belum dikurniakan zuriat. Niat hati memang saya tidak mahu berpisah dan ingin membelanya sendiri, namun saya tidak mampu. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan nasib diri saya ini.
Dengan hati yang berat, tiga hari selepas melahirkannya saya terpaksa merelakan detik perpisahan itu. Itulah kali terakhir saya memegang, memeluk serta mencium bayi lelaki saya yang sangat comel itu. Hanya Tuhan sahaja yang mengerti bagaimana perasaan saya setelah ketiadaannya.
Saban malam saya menangis merinduinya, namun hanya secebis doa yang mampu saya titipkan. Mudah-mudahan apabila besar nanti, dia dapat memaafkan saya dan percaya bahawa apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikan masa depannya.
Terus Mengharapkan Sinar Bahagia
Kini sudah setahun berlalu, jauh di sudut hati saya sebenarnya masih mengharapkan agar ada sinar bahagia menanti saya. Mudah-mudahan ditetapkan iman saya agar tidak kembali terpengaruh dengan jalan yang salah. Jika diizinkan Tuhan, saya mahu kembali ke pangkuan keluarga. Saya terlalu rindukan ibu, ayah dan adik-adik. Saya tahu saya telah membuat kesilapan yang besar dalam hidup saya.
Mudah-mudahan Tuhan merestui niat murni saya ini. Pesan saya kepada para remaja di luar sana, janganlah terlalu mengikut kata hati kerana buruk padahnya!,” akhiri coretan Dura menerusi e-mel kirimannya itu.
<< Baca luahan hati wanita bernama Lyana yang telah terjebak ke dunia hitam di sini.
NOTA KAKI!
Terima kasih buat Dura kerana sudi berkongsi rasa dengan WOM.my. Seandainya ada di antara pembaca budiman yang sudi memberikan kata-kata semangat buat Dura, sila tinggalkan komen anda. Kata-kata azimat tersebut tentunya amat bermakna dan boleh menjadi sumber kekuatan Dura untuk meneruskan kehidupan barunya itu.
No Comment