Sejuta Manfaat Vitamin D
Manfaat Vitamin D. Kali ini, cerita kita adalah tentang Vitamin D Dan Fertiliti Wanita.
Okay, sebelum itu, saya berharap semua pembaca dalam keadaan yang sihat. Musim ‘jerebu’ sudah kembali dan jagalah kesihatan anda semua. Jerebu menyebabkan pelbagai penyakit respiratori atau pernafasan terutamanya keatas pesakit yang ada penyakit lelah.
Satu lagi ‘sumbangan’ jerebu kepada kita adalah ia menggurangkan cahaya matahari. Jerebu menggurangkan pendedahan terhadap cahaya matahari sehingga 50-60%. Mungkin anda akan bertanya, “Bukankah ini baik doktor?”.
Saya pasti banyak di antara kita berasa lega dengan penggurangan sinar sang suria. Tidak perlu membawa payung apabila anda keluar dari bilik pejabat berhawa dingin untuk membeli makanan tengahari. Tidak perlu lagi untuk memakai ‘lotion sun block’ setiap hari.
Wahai pembaca sekalian, saya ini bukanlah ahli meteriologi. Saya adalah seorang pakar kesihatan fertiliti. Kenapalah saya asyik bercakap mengenai sinar matahari? Bukan sahaja tumbuhan hijau memerlukan sinar matahari bahkan kita juga memerlukan sinar matahari atau Vitamin D untuk mencapai hasrat kita untuk menjadi ibubapa.
Kita mengambil pelbagai jenis vitamin setiap hari. Daripada kesemua jenis vitamin, Vitamin D mempunyai tempat yang unik di dunia kesihatan fertiliti. Pada hari ini saya akan menjelaskan mengenai kaitan di antara Vitamin D dan fertiliti wanita.Vitamin D atau ‘vitamin sang suria’ adalah salah satu jenis hormon steroid.
Ia dihasilkan terutama sekali di kulit badan kita apabila kulit kita terdedah kepada sinar matahari. Kurang dari 10-20% dari Vitamin D diperolehi dari makanan ! Penghasilan Vitamin D di kulit kita adalah sumber asli utama vitamin ini.
Apabila kulit kita terdedah kepada sinar matahari, kulit menghasilkan Vitamin D yang tidak aktif (D3). Vitamin D3 ini akan memasuki aliran darah untuk sampai ke organ hati. Di dalam organ hati kita, D3 akan melalui proses pengubahsuaian untuk menjadi ’25-hydroxyVitamin D’ (25(OH)D. Walaubagaimanapun, Vitamin D pada tahap ini masih tidak aktif.
Tahap seterusnya adalah satu lagi proses pengubahsuaian yang berlaku di dalam buah pinggang, dimana 25(OH)D menjadi ‘1,25-dihydroxyVitamin D (1-25(OH)2 D. Hasil akhir ini aktif di dalam badan dan bersedia untuk melakukan tugas-tugasnya.
Manfaat Vitamin D yang seterusnya ialah ia bertanggungjawab untuk menyerap mineral dari usus seperti kalsium, fosfat, besi , magnesium dan zink. Penyerapan kalsium dan fosfat mengekalkan paras normal zat-zat ini dalam badan dan sekaligus menjamin kesihatan tulang badan kita.
Baca Juga: Tanda-Tanda Anda Kekurangan Vitamin D
Vitamin D menjalankan tugas-tugasnya melalui ‘reseptor Vitamin D’. Reseptor ini bukan sahaja terdapat di dalam usus dan tulang kita, malah ia juda didapati di dalam organ reproduktif wanita seperti rahim dan ‘ovari’. Kewujudan reseptor-reseptor ini didalam organ reproduktif wanita menunjukkan kepentingan Vitamin D dalam sistem pembiakan wanita.
Hei! Bangun, bangun… Kelas Sains sudah habis.. Sekarang saya ingin membawa anda ke bahagian yang lebih menarik:
Bagaimana Vitamin D mempengaruhi Fertiliti & Bagaimana untuk mendapatkan Vitamin D yang secukupnya. Mari kita mulakan …
Bagaimana Vitamin D mempengaruhi Fertiliti
Biasanya, kekurangan Vitamin D berlaku apabila paras dalam badan adalah kurang daripada 20 ng/ml. Paras yang lebih dari 30 ng/ml adalah paras normal Vitamin D.
Vitamin D mempengaruhi fertiliti wanita dari segi:
- Mempengaruhi ujian kesuburan wanita
- Mempengaruhi pembesaran telur wanita
- Mempengaruhi faktor yang terlibat dalam masalah ovulasi bagi wanita ‘Polycystic Ovarian Syndrome’ (PCOS)
- Mempengaruhi kadar kejayaan ‘In-Vitro Fertilization’ (IVF).
Mari kita meneliti setiap satu:
- Ujian Kesuburan Wanita
Bagi pasangan yang pernah melalui ujian kesuburan, mereka mungkin tahu mengenai ujian kesuburan wanita atau ‘ovarian reserve test’. Bagi seseorang wanita , mereka mungkin pernah mendapat nasihat sebegini , “ Hamil secepat mungkin dan seboleh-bolehnya cukupkan keluarga kamu sebelum mencapai umur lewat 30-an”. Sesiapa yang memberi nasihat itu sebenarnya bercakap mengenai ‘ovarian reserve’ wanita itu.
Apakah itu ‘ovarian reserve’ atau kesuburan wanita? Kesuburan seseorang wanita merujuk kepada ‘jumlah telur yang masih ada di dalam ovari wanita itu’. Jadi ujian kesuburan wanita secara tidak langsung menyukat jumlah telur yang masih ada pada wanita itu.
Ujian kesuburan yang dianggap terbaik pada masa kini dipanggil ‘Anti-Mullerian Hormone (AMH)’.
Wanita yang mempunyai paras AMH yang rendah mempunyai jumlah telur yang kurang berbanding dengan wanita yang mempunyai nilai AMH yang normal. Berbanding ujian kesuburan yang lain seperti ‘Follicle Stimulating Hormone (FSH)’ , AMH adalah lebih ‘stabil’ dan tidak berubah dari bulan ke bulan.
Tetapi kajian saintifik telah membuktikan bahawa paras AMH dipengaruhi oleh paras Vitamin D dalam badan wanita. Wanita yang menpunyai kekurangan Vitamin D mempunyai paras AMH yang lebih rendah. Ini bererti, wanita ini dianggap mempunyai tahap kesuburan yang lebih rendah sedangkan tahap kesuburan mereka adalah lebih tinggi dari jangkaan.
Baca Juga: Cara Meningkatkan Kesuburan Wanita
- Pembesaran Telur Wanita
Dalam kitaran haid seseorang wanita, beberapa telur dipilih pada mulanya untuk membesar. Akhirnya, hanya satu telur sahaja yang membesar, yang selebihnya akan mati. Tugas AMH adalah sebenarnya untuk ‘melindungi’ telur yang masih ada pada wanita itu. Ini bermaksud, AMH menghalang lebih banyak telur untuk membesar. Disinilah Vitamin D memainkan peranannya. Vitamin D akan melawan balik kesan ‘halangan’ dari AMH keatas telur wanita. Peranan Vitamin D ini membantu telur untuk membesar sehingga berlakunya ovulasi.
- PCOS
PCOS adalah salah satu penyebab utama masalah fertiliti wanita. Wanita yang mempunyai PCOS bukan sahaja menpunyai masalah fertiliti tetapi juga menpunyai masalah kitaran haid dan obesiti.
Pakar fertiliti biasanya akan memberitahu wanita yang ada PCOS , “ Anda mempunyai banyak telur, tetapi telur-telur itu tidak membesar dan tidak berlaku ovulasi. Saya akan memberi kamu ubat untuk membantu pembesaran telur”.
Kenapakah ini berlaku? Wanita yang ada PCOS menghasilkan satu bahan didalam badannya yang mengganggu pembesaran telur. Bahan ini dikenali sebagai AGE ( ‘Advanced Glycation End Products’). AGE adalah agen radang ( bermaksud ia membahayakan telur). Badan wanita juga menghasilkan agen yang melindungi telur wanita yang dipanggil sRAGE ( ‘soluable receptor sRAGE). sRAGE bergabung dengan AGE supaya kesan bahaya keatas telur dapat dikurangkan.
Jadi dimanakah peranan Vitamin D ? Vitamin D sebenarnya meningkatkkan paras sRAGE dalam badan wanita yang mempunyai PCOS. Ini bererti, wanita PCOS yang mempunyai paras Vitamin D yang normal mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk telurnya membesar berbanding dengan wanita yang mempunyai paras Vitamin D yang rendah.
Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa paras Vitamin D adalah rendah bagi wanita PCOS dan ini juga mempengaruhi ‘insulin resistant’ dan obesiti bagi wanita itu.
- IVF
Setiap pasangan yang melalui IVF, mereka pasti akan melakukan apa sahaja yang terdaya supaya dapat meningkatkan peluang kehamilan. Terdapat beberapa nasihat yang biasa diberikan seperti penjagaan berat badan, akupuntur dan nutrisi yang baik. Kajian telah membuktikan bahawa Vitamin D dapat meningkatkan kadar kehamilan IVF. Paras Vitamin D yang lebih tinggi dikaitkan dengan peluang kehamilan klinikal yang lebih tinggi. Ini sekaligus membuktikan bahawa perlunya untuk kita memeriksa paras Vitamin D dalam badan sebelum rawatan IVF.
Oleh kerana Vitamin D mempunyai kesan positif ke atas kadar kehamilan, bagaimanakah seseorang wanita itu boleh mendapatkan Vitamin D yang secukupnya? Saya menyenaraikan beberapa cara :
- Cahaya matahari : Ok,ok..kita sudah bincang mengenainya tetapi biarkan saya menambahkan sedikit fakta lagi. Dedahkan diri anda kepada cahaya matahari sekurang-kurangnya 20-25 minit sehari. Jika anda berkulit gelap, anda akan mendapat kurang Vitamin D dari sinaran matahari kerana pigmen kulit menhalang cahaya matahari.
- Makan ikan berlemak seperti ‘salmon’ dan ‘tuna’. Disamping itu, anda juga mendapat ‘omega-3 fatty acids’ yang juga memberi kesan positif ke atas fertiliti.
- Cendawan. Sesetengah cendawan dibesarkan dibawah cahaya UV supaya dapat menghasilkan Vitamin D. Jadi bila anda membeli cendawan, silalah bertanya adakah itu ‘cendawan Vitamin D’.
- Minum susu yang ‘diperkaya’ (fortified) . Susu ini mengandungi Vitamin D.
- Makan kuning telur. Terkejut? Ya, kuning telur mangandungi Vitamin D. Tetapi janganlah makan terlalu banyak kerana ia juga mengandungi kolesterol.
- Pil Vitamin D. Ini mungkin cara yang lebih mudah untuk mendapatkan Vitamin D .
- Lampu UV. Kaedah ini diperlukan bagi seseorang yang berisiko tinggi untuk mendapat deficit Vitamin D. Bagi kebanyakan orang, 6 cara yang tersenarai di atas sudah mencukupi.
Kita sudah ke akhir rencana untuk hari ini. Saya berharap anda semua telah mempelajari tentang pentingnya Vitamin D dalam kesihatan fertiliti wanita. Jadi setiap kali anda terdengar anak comel menyanyikan lagu , ‘Hujan Oh Hujan, Kenapa Awak Datang?..’ Ia adalah peringatan untuk anda keluar rumah selepas hujan untuk mendapatkan Vitamin D dari sang matahari.
Artikel ditulis oleh: Dr.A.Agilan
<< Ketahui lebih lanjut tentang masalah fibroid di sini.
No Comment