Gaya HidupKarier & Wang

Siti Zubaidah Cekal Hadapi Cabaran

Siti Zubaidah | Women Online Magazine

Sekiranya anda peminat bola sepak tanahair, penyokong tegar kelab PKNSFC, sudah pasti mengenalinya. Nama Puan Hajah Siti Zubaidah Abd Jabar, wanita ini bukan asing lagi dalam arena bola sepak negara.Beliau merupakan Kontroler Pembangunan Wilayah Utara(KPWU) di PKNS, yang juga Presiden PKNSFC.

Kredibiliti yang dimiliki oleh Puan Hajah Siti Zubaidah membuatkan ramai pihak membuka mata serta mengagumi beliau. Kepetahan serta keyakinan beliau menutur kata, pengetahuan yang tinggi serta pengalaman luas menjadikan beliau sebagai salah seorang wanita yang amat disegani ramai. Tambahan pula sifat ramah dan mesra menjadikan Siti Zubaidah senang didekati.

 

Bersama WOM.my  beliau berkongsi pengalaman dan juga kisah kehidupannya.

Rutin Harian

Menurut Siti Zubaidah, sebagai seorang KPWU dan Presiden PKNSFC, beliau perlu bijak mengatur jadual hariannya agar segala tugasannya dapat berjalan dengan baik. “Bermula dari awal pagi, selepas memberi makanan dan memanjakan dua ekor kucing kesayangan iaitu Tina dan Ishi, saya akan terus ke pejabat di Kompleks PKNS Shah Alam,” ujar beliau memulakan cerita.

“Ketika di dalam kereta, saya akan menyemak jadual rasmi harian. Setiba di pejabat sekitar jam 7.40 pagi saya akan singgah di kafe jabatan untuk menikmati sarapan pagi bersama anggota PKNS. Saya gunakan kesempatan itu untuk berbual dengan mereka, terutama soal isu-isu semasa”.

“Lazimnya waktu antara 8-9 pagi saya akan membuka ruang kepada pegawai-pegawai dan mana-mana anggota di bawah penyeliaan saya untuk berbincang, mendengar dan menyelesaikan permasalahan atau merancang aktiviti yang akan dilaksanakan. Mulai jam 9.30 pagi hingga ke 12.00 tengahari atau 1.00 petang saya menghadiri mensyuarat atau lawatan tapak dan akan disambung semula pada jam 2.30  hingga 5.00 atau 6.00 petang,” jelas Siti Zubaidah, tambah beliau yang berasal dari Kg Batu Laut, Kuala Langat, Selangor.

Selaku Presiden PKNSFC, beliau menjelaskan kerja-kerja pemantauan atau perbincangan perlu dilakukan. “Saya akan lakukan pemantauan atau perbincangan tersebut, sama ada melalui kemudahan elektronik atau perjumpaan secara fizikal, di pejabat ataupun di Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya. Semuanya bergantung pada kesesuaian masa dan keadaan. Adakalanya  pada sebelah petang selepas waktu pejabat atau sebelah malam.

 

Kerjaya Terdahulu

Sebelum menjawat jawatan sekarang, Siti Zubaidah menjelaskan bahawa beliau pernah menjadi seorang pensyarah di salah sebuah kolej swasta di Lembah Pantai.

“Mulai tahun 1984 saya bekerja di PKNS sebagai Penolong Pengurus Jualan di ibu pejabat, cawangan Bangi dan Shah Alam. Saya juga pernah menjawat jawatan Pengurus Hal Ehwal Tanah dari tahun 1994-1995. Kemudian, mulai tahun 1996 hingga 2006 saya dilantik sebagai Pengurus Pembangunan Usahawan. Manakala kerjaya sebagai Kontroler bermula apabila saya dilantik menjadi Kontroler Pembangunan Wilayah Selatan pada tahun 2007 hingga 2010.”

Siti Zubaidah | Women Online Magazine

Aktiviti Masa Lapang

“Saya minat melukis dan ketika di alam persekolahan saya sering mewakili sekolah menyertai pertandingan melukis. Tetapi minat tersebut telah lama terkubur sejak saya masuk ke alam pekerjaan.Sebelum menjawat jawatan sebagai Presiden PKNSFC, waktu lapang banyak saya penuhi dengan aktiviti menanam dan menjaga pokok-pokok bunga di halaman rumah, di samping memelihara kucing, haiwan peliharaan kesayangan saya. Suatu ketika dahulu saya pernah membela 14 ekor kucing, tetapi disebabkan terlalu sibuk kini saya hanya ada dua ekor kucing sahaja di rumah.

Saya akui, sejak menjadi Presiden PKNSFC masa lapang saya jadi lebih terhad kerana setiap hujung minggu saya akan berada bersama-sama pasukan di mana-mana stadium yang ada perlawanan melibatkan PKNSFC,” terang Siti Zubaidah yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik, panjang lebar.

Profil

Nama: Siti Zubaidah Abd Jabar

Umur: 55 tahun

Lulusan: * Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Universiti Malaya

* Cert.of Management from Asean Institute of Management Filipina

* Cert.in General Management and Leadership from Judge Business School, University of Cambridge , United Kingdom

* Certified International Professional Manager from The International Professional Managers Association, United Kingdom.

Jawatan Di PKNS: Kontroler Pembangunan Wilayah Utara (2011 hingga sekarang)

Tempoh Bekerja di PKNS: 32 tahun

 

Previous post

Cara Terbaik Memilih Pakaian Ibu Mengandung

Next post

Resepi Donat Coklat

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *