Salam Maal Hijrah
Hari ini kita melangkah menyambut kedatangan tahun baru 1436H.
Bersempena dengan itu, pada hari ini , 25 Oktober 2014, Majlis Sambutan Maal Hijrah 1436H Peringkat Kebangsaan diadakan di PICC, Putrajaya. Jadi, Salam Maal Hijrah buat semua pembaca WOM.my
Tema pada setiap tahun adalah berbeza, jadi pada tahun ini sambutan Maal Hijrah bertemakan “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”. Seperti biasa, majlis akan bermula pada jam 8.00 pagi. Kemuncak majlis sambutan Maal Hijrah ialah penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan seorang lagi tokoh peringkat antarabangsa.
Mari kita imbas kembali kisah di sebalik Maal Hijrah.
Maal Hijrah atau Awal Muharram ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia mengimbas kembali tentang dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi. Kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.
Kisah Hijrah Nabi Muhammad (s.a.w)
Ketika Rasulullah (s.a.w) berusia 40 tahun malaikat Jibrail (a.s) telah melawat baginda sewaktu baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad bahawa baginda telah diangkat oleh Allah( s.w.t) sebagai rasul untuk seluruh umat manusia.
Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan agama Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah (s.w.t) supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur. Baginda telah mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Namun begitu, pengikutnya itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama dari bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk.
Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah (s.a.w) mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah yang pada ketika itu dikenali sebagai Yathrib. Mereka akhirnya meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah.
Kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah( s.a.w) telah diberitahu bahawa kaum kafirun Makkah merancang untuk membunuh baginda sekaligus memusnahkan agama Islam. Rasulullah menunggu perintah daripada Allah(s.w.t ) lalu malaikat Jibrail (a.s) menemui baginda untuk memberitahu bahawa Allah(s.w.t) mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya iaitu Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.
Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya bahawa baginda berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempatnya di rumah. Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (saw) walaupun menyedari bahaya yang bakal dihadapinya.
Pada malam itu, sekumpulan orang Quraish mengepung rumah Rasulullah (s.a.w). Mereka mengintai melalui lubang di pintu, dan ternampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (s.a.w). Mereka berasa begitu yakin bahawa Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda.
Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (a.s) dan bukannya Rasulullah (s.a.w) yang bangun dari katil itu. Mereka terpinga-pinga memikirkan bilakah Rasulullah (s.a.w) keluar dari rumah itu. Rasulullah (s.a.w) dan Abu Bakr (a.s) telah keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa yang mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali anak-anak Abu Bakar, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.
Rasulullah (s.a.w) dan Abu Bakar telah bersembunyi di dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada di dalam gua tersebut. Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (s.a.w), mereka tidak memasukinya kerana pintu gua tersebut dilitupi oleh sarang labah-labah dan sepasang burung merpati. Jadi, mereka beranggapan bahawa Rasulullah (s.a.w) dan Abu Bakar tidak berrada di dalam gua tersebut.
Allah (s.w.t) telah membantu dua insan ini dan melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish akhirnya meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Apabila Rasulullah (s.a.w) dan Abu Bakar yakin bahawa musuh sudah beredar, mereka meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah. Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan yang tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah terik matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah (s.w.t)
Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (s.a.w). Mereka telah menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah (s.a.w). Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah (s.w.t) Rasulullah (s.a.w) dan sahabatnya akhirnya tiba di perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Penduduk Madinah yang baru turut memeluk agama Islam dan berasa gembira dapat bertemu Rasulullah (s.a.w).
Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (s.a.w) akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan memasuki Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat seterusnya mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Dan daripada itu, Rasulullah (s.a.w) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Islam dan menyeru mereka supaya menegakkan hak dan mengikut segala perintah Allah (s.w.t)
Kesan daripada penghijrahan Rasulullah(s.a.w) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun tersebut sebagai peristiwa bersejarah.
Peristiwa Penting Dalam Muharam
- 1 Muharam – Khalifah Umar Al-Khattab telah menetapkan tarikh tersebut sebagai hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).
- 10 Muharam – Dinamakan sebagai hari ‘Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah demi menegakkan keadilan dan kebenaran.
Selain itu, pada 10 Muharam juga beberapa peristiwa lain telah berlaku. Antaranya:
1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan oleh Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16. Allah menjadikan ‘Arasy.
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18. Allah menjadikan alam.
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20. Nabi Isa diangkat ke langit.
Demikianlah kisah disebalik Maal Hijrah yang harus dikenang oleh seluruh umat Islam. Betapa dahsyatnya ciptaan Allah (s.w.t) kepada kita dan sambutlah Salam Maal Hijrah daripada seluruh umat Islam di dunia ini dengan keredahan hati.
<< Ketahui cara untuk membersihkan hati daripada virus-virus yang tak baik di sini.
No Comment