Gaya HidupSantai

Semarakkan Cinta Anda Di Pulau Maldives

Pulau Maldives - woman online magazine

Kredit : best-wallpaper

Sebut sahaja Pulau Maldives,pastinya terbayang keindahan lautnya yang biru jernih bak kristal dan pasirnya yang memutih. Bahkan, anda juga terbayangkan aksi romantik bersama pasangan sekiranya dapat menjejakkan kaki ke kepulauan tersebut. Jadi, tidak harianlah jika ramai orang menggelarkannya sebagai destinasi cinta.

Bagi yang berkemampuan, apa kata kali ini berkunjung ke Pulau Maldives. Bagi yang mahu berbulan madu atau sudah lama berkahwin, semarakkan lagi cinta anda berdua di Palau Maldives.

Pulau Maldives

Pulau Maldivies dikenali sebagai sebuah negara pulau yang mengandungi  gugusan kepulauan terumbu karang yang terletak di Lautan Hindi dekat selatan, Ppulau Lakshadweep, India. Di sini terdapat 26 terumbu karang yang diwartakan sebagai wilayah yang mengandungi sebanyak 1,192 kepuluan kecil.

Semestinya kecantikan Maldives adalah sebab utama yang menarik pengunjung ke sana. Landskap di kepulauan Maldives yang dilatari pokok-pokok kelapa, pantai berpasir putih dan terumbu karang yang menjadi habitat penyu. Oleh sebab cuaca panas sepanjang tahun di sana menjadikannya sebagai lokasi percutian pilihan pelancong serta boleh dikunjungi pada bila-bila masa.

Bagaimana Hendak Ke Pulau Maldives?

Anda bolehlah menempah tiket dari AirAsia X yang telah memperkenalkan perjalanan terus dari Terminal Tambang Murah (LCCT), Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Ibrahim Nasir, Maldives.

Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira empat jam dengan jumlah penerbangan empat kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis, Jumaat dan Ahad. Selain itu,anda juga boleh menempah tiket penerbangan di Malaysia Airlines(MAS). Sekiranya anda ingin berjimat,rancanglah percutian ke Pulau Maldives ini beberapa bulan lebih awal kerana selalunya AirAsia X akan membuat promosi.

Bajet Penginapan

Seringkali orang menyangka kos untuk menjejakkan kaki ke sebuah pulau di lautan India ini dianggap tinggi tetapi persepsi itu salah sama sekali kerana Pulau Maldives ini menyediakan percutian untuk semua peringkat iaitu daripada percutian ‘ciput’ sehinggalah kepada mewah.

Di sini terdapat kira-kira 105 tempat penginapan yang menyediakan pelbagai kemudahan sama ada untuk percutian bersama teman, keluarga ataupun untuk anda berbulan madu.

Tempat-tempat penginapan yang disediakan adalah serendah RM80 sehinggalah kepada RM2, 000 bagi satu malam. Malah ada juga yang lebih daripada itu. Contohnya di Kandooma, Biyadhoo Island Resort atau Fihalhohi Tourist Resort untuk mereka yang mempunyai bajet di bawah RM 1,000. Semuanya bergantung setakat mana anda mampu berbelanja untuk bercuti.

Aktiviti Di Pulau Maldives

Tidak sah sekiranya tidak menyertai aktiviti menyelam apabila berkunjung ke pulau Maldives ini. Di sini sememangnya aktiviti memancing, scuba diving, snorkeling, belayar dan juga polo air merupakan aktiviti kegemaran pelancong.

Kejernihan air lautnya membolehkan pelancong melihat dengan jelas ikan-ikan yang berenang-renang sehingga kadangkala mencapai jarak 50 meter. Selain itu, terumbu karangnya yang besar menjadi bentang ombak besar semasa musim monsun.

Kelebihan-kelebihan ini menjadikan Pulau Maldives sebagai kepulauan yang mempunyai antara terumbu kerang yang tercantik di dunia. Ketika scuba diving pula, panorama dasar laut yang didiami ribuan spesies ikan pasti mengujakan anda. Apa sahaja spesies yang ingin dilihat sama ada udang kecil, ikan-ikan pelbagai warna dan spesies terdapat di sana.

Manakala aktiviti menyelam biasanya dilakukan di sepanjang faru (terumbu karang) dan di sepanjang thila (akuarium tenggelam seperti terumbu) yang mempunyai laluan menuju ke laut.

Inginkan suasana yang romantik? Saksikan matahari terbit yang bermula seawal 5.45 pagi kerana waktu inilah matahari terbit, tetapi prosesnya berlaku dengan pantas memandangkan panorama seakan-akan berubah-ubah pada setiap saat.

Jika anda memilih percutian di Clud Med di Kani, pemandangan matahari terbenam paling menarik sekiranya disaksikan di kawasan Sunset Bar. Matahari senja seakan-akan terbenam di depan mata.

  • Melawat Pulau Himmafushi

Anda juga boleh melawat Pulau Himmafushi untuk melihat kehidupan rakyat Maldives di pulau-pulau. Perjalanan ke pulau tersebut mengambil masa selama 1 jam 30 minit dengan menaiki speed boat. Di sini anda bolehlah melihat kapal atau bot nelayan yang sedang menurunkan tangkapan mereka. Ikan-ikan yang ditangkap sememangnya sangat besar.

Di sini juga terdapat kedai cenderahati. Anda bolehlah membeli cenderahati untuk kawan-kawan ataupun keluarga. Namun anda haruslah berhati-hati semasa memilih cenderahati supaya tidak ditipu. Buatlah perbandingan harga.

Eh, macam mana nak makan di sana? Ada restoran yang halal ke? Anda tidak perlu risau untuk mencari makanan halal di sini kerana hampir 100% rakyat Maldives beragama Islam. Jadi,makanan yang dijual tentunya halal.  Restoran yang boleh dikunjungi di sani ialah Restoran Velhi, Restoran Kandu dan Iru Bar sama ada untuk sarapan, waktu snek, makan tengah hari, makan malam atau makan lewat malam.

Sekiranya anda datang untuk berbulan madu,anda bolehlah menikmati momen indah makan malam bawah bintang sambil diterangi cahaya lilin. Pastinya pengalaman intim ini tidak dapat dilupakan seumur hidup.

Tips Bercuti Di Pulau Maldives

  1. Matawang

Sebenarnya, anda hampir tidak perlu menyediakan wang tunai semasa berada di resort-resort kerana mereka lebih menghargai kad kredit yang anda ada. Anda hanya memerlukan RF sekiranya anda ke kedai-kedai kecil dan ingin menaiki bas di sekitar Male.

Ruffiya (Rf) ialah matawang Maldives. Namun, jangan bazirkan matawang RM kita untuk menukar kepada Rf. Sebelum terbang ke Maldives, tukarkan RM anda kepada USD. Matawang USD merupakan matawang yang digunakan di semua resort.

  1. Lokasi Dan Kos Airport Transfer

Penerbangan dari Malaysia akan tiba di Lapangan Terbang Ibrahim Nasir yang terletak di Hulhule (Pulau Airport). Daripada Hulhule, anda akan menggunakan pengangkutan (airport transfer) yang disediakan oleh hotel. Di sini perlu timbangkan faktor jarak lokasi pulau resort yang anda pilih dengan Hulhule. Lagi jauh pulau yang anda pilih dari pulau airport, tentunya pulau tersebut lebih indah,namun, lagi jauh bermakna maka lagi mahal kos pengangkutan dan ia akan mengambil masa yang lebih untuk sampai. Airport transfer dari airport menggunakan 3 jenis pengangkutan iaitu bot laju (speed boat), seaplane atau teksi/van. Pastikan anda mengambil tahu sekiranya pengangkutan tersebut berjalan 24 jam ataupun tidak.

  1. Penduduk Dan Bahasa

Penduduk Maldives dikenali sebagai Maldivian. Populasi penduduknya hanya 340 ribu orang. Manakala bahasa pertuturannya ialah bahasa Dhivehi. Namun, anda tak perlu bersusah payah untuk belajar Dhivehi kerana anda boleh gunakan sahaja bahasa Inggeris.  Agama rasmi di sini ialah Islam dan rakyat Maldivian perlu menganut agama Islam. Agama lain tidak boleh disebarkan di negara ini. Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Maldives 1997.

  1. Barang Keperluan

Benda wajib yang perlu anda bawa ialah losyen pelindung UV kerana suhu di Pulau Maldives agak panas. Selain itu, bawalah juga topi dan shades. Kelengkapan juga ialah baju mandi dan selipar. Disebabkan makanan di sini agak mahal,anda juga boleh bawa rice cooker,nasi dan makanan dalam tin untuk menjimatkan kos percutian anda.

Jadikan pulau Maldives di antara senarai percutian romantik yang wajib anda pergi dalam hidup anda. Sekali anda berpeluang untuk menikmati percutian ke pulau eksklusif ini, sukar untuk anda padamkan memori indah anda dan si dia di pulau cinta ini.

<< Ketahui tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati di Vietnam di sini.

Share and Enjoy !

0Shares
0 0 0
Previous post

Air Perahan Lemon, Banyak Manfaatnya!

Next post

Kenali Jenis-Jenis Rasa Lapar Dan Cara Menahannya Supaya Anda Tidak Kekal Menjadi Gemuk!

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *