Ada Apa?Buletin

Nestlê Rocks Raikan Ulang Tahun Ke-10

Nestlê - Women Onlline Magazine

Syarikat Pemakanan, Kesihatan dan Kesejahteraan terkenal, Nestlé Malaysia telah menganjurkan satu perayaan istimewa baru-baru ini untuk memperingati Ulang Tahun Ke-10 Program Sukarelawan Kakitangan ‘Menghulurkan Tangan Kepada Masyarakat dan Kanak-Kanak’ (Reaching Out to Community and Kids – ROCKS).

Semasa Perayaan Ulang Tahun Ke-10 ROCKS yang diadakan di ibu pejabat Nestlé Malaysia di Mutiara Damansara, Pengarah Urusan Nestlé (Malaysia) Berhad, Encik Alois Hofbauer, melancarkan semula Program ROCKS dan memperkenalkan program baru, iaitu Program Penghargaan Kakitangan ROCKS. Seramai 10 kakitangan Nestlé yang paling aktif dalam Program ROCKS pada 2014, yang lebih dikenali sebagai “ROCKers”, telah mendapat pengiktirafan atas dedikasi mereka sepanjang tahun dan menerima sijil penghargaan.

Program ROCKS dimulakan pada 2005 sebagai satu inisiatif kebangsaan yang membabitkan lebih 5,700 kakitangan Nestlé di seluruh Malaysia. Sebagai sebahagian daripada falsafah Nestlé untuk Menjana Nilai Bersama (Creating Shared Value – CSV), yang merupakan satu aspek penting dalam cara Nestlé menjalankan perniagaan, program ini bertujuan untuk memperkaya kehidupan mereka yang memerlukan dan menggalakkan kakitangan Nestlé Malaysia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif Syarikat untuk menabur bakti kepada masyarakat. Sepanjang 10 tahun yang lepas, Program ROCKS telah membawa keceriaan kepada lebih daripada 30 buah rumah kebajikan di seluruh negara.

Encik Hofbauer berkata, “Kami teruja kerana dapat memberi sumbangan yang positif dengan cara yang bermakna kepada masyarakat sepanjang satu dekad yang lepas. Kami juga berasa sangat bangga dengan pengorbanan kakitangan kami yang sanggup mencurahkan masa dan tenaga mereka secara sukarela untuk membantu mereka yang memerlukan, kerana ini adalah selaras dengan pendekatan CSV kami. Perjalanan ROCKS di Malaysia sepanjang 10 tahun ini benar-benar memberangsangkan, dan saya pasti ROCKS akan terus menghulurkan tangan kepada lebih ramai anggota masyarakat yang memerlukan apabila kami terus melangkah ke hadapan. Nestlé benar-benar mempercayai bahawa kami boleh mendapat kebaikan sebagai sebuah Syarikat dengan melakukan kebaikan untuk masyarakat, dan kami akan terus mencari peluang untuk membawa perubahan positif ke dalam kehidupan masyarakat di mana kami beroperasi.

“Mengulas mengenai Program ini, Nurul Izzah Ishak, antara 10 ROCKer Nestlé paling aktif 2014, berkata, “Saya percaya bahawa setiap orang mempunyai peranan yang penting untuk dimainkan bagi menyokong golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat kita. ROCKS merupakan platform yang wajar untuk berkongsi kesungguhan dengan rakan ROCKers kami dalam usaha membantu masyarakat. Peluang yang diberikan oleh ROCKS bukan sahaja membolehkan kami meninggalkan kesan positif dalam kehidupan orang lain, tetapi juga menunjukkan bahawa khidmat sukarela boleh memberi pengalaman yang menyeronokkan. Saya menyertai ROCKS pada 2013 dan setakat ini ia membolehkan saya menimba pengalaman yang benar-benar memberi kepuasan. Saya berharap agar kami dapat melakukan yang lebih baik sepanjang 10 tahun yang akan datang!”

Sebagai sebahagian daripada Perayaan Ulang Tahun Ke-10 ROCKS, Nestlé juga telah menubuhkan beberapa gerai pameran ROCKS dan galeri gambar untuk memperlihatkan evolusinya dan pelbagai inisiatif yang telah dijayakan oleh ROCKS sepanjang satu dekad yang lepas. Selain itu, beberapa pertubuhan kebajikan termasuk Rumah Ozanam, Rumah Siraman Kasih dan Zomi Education Centre telah dijemput untuk mengendalikan gerai pameran mereka sendiri dan mengutip dana untuk rumah masing-masing.

Pertubuhan ini adalah antara rumah kebajikan yang kini mendapatkan sokongan daripada program sumbangan makanan bulanan ROCKS Nestlé, yang menyalurkan produk makanan setiap bulan kepada pertubuhan dan rumah kebajikan.“Kami gembira kerana diberi peluang untuk turut serta pada hari yang istimewa ini dan kami benar-benar menghargai sokongan Nestlé. Ribuan terima kasih kepada ROCKers Nestlé kerana komitmen mereka untuk membantu golongan yang memerlukan. Kami bertuah menjadi penerima sumbangan di bawah program ini dan kami amat terhutang budi kepada Nestlé kerana sumbangannya kepada organisasi kami. Saya berharap agar Nestlé akan meneruskan tradisinya untuk menjana nilai demi kepentingan lebih ramai anggota masyarakat yang memerlukan,” kata Pn. Hasnah bt Ismail, Pengurus Rumah Siraman Kasih.

Sepanjang 10 tahun yang lepas, Program ROCKS Nestlé telah memulakan pelbagai aktiviti untuk menambah baik kehidupan golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat. ROCKS Nestlé juga telah menganjurkan banyak aktiviti, termasuk pada musim-musim perayaan, seperti lawatan ke rumah orang tua sempena Tahun Baru Cina, dan aktiviti beli-belah untuk kanak-kanak kurang bernasib baik sempena Deepavali dan Hari Raya. Aktiviti lain termasuk membina rumah untuk penempatan Orang Asli, menjalankan gotong-royong untuk membersihkan sungai serta acara memasak dan menyediakan makanan untuk golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat.

<< Ketahui lima teknik budaya kerja kelas pertama di sini.

 

 

 

 

 

Share and Enjoy !

0Shares
0 0 0
Previous post

Penyebab & Cara Mengubati Sakit Asma

Next post

Mesti Baca! 6 Sebab Lelaki Gemuk Lebih “Awesome”

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *