Chef Wan Mahu Rakyat Malaysia Amalkan Pemakanan Sihat
Amalan Pemakanan Yang Sihat.Pemakanan sihat dan seimbang merupakan amalan penting untuk mengekalkan gaya hidup sihat.
Sungguhpun begitu bukan mudah untuk mengamalkannya di Malaysia, sebuah negara berbilang kaum yang terkenal dengan aneka masakan Melayu, Cina, India dan Peranakan.Pemakanan sihat dan seimbang menjadi lebih sukar direalisasikan apabila kebanyakan kita mempercayai bahawa makanan yang menyihatkan badan kurang memuaskan selera.
Chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail yang lebih mesra dengan panggilan Chef Wan, kini menyertai misi untuk membantu warga Malaysia mengamalkan pemakanan sihat dan menyingkirkan tanggapan yang kurang tepat mengenai makanan sihat.Untuk mencapai misi ini, satu kerjasama strategik telah dibentuk oleh Chef Wan dan BMS Organics, sebuah rantaian kedai yang menerajui gaya hidup organik di Malaysia.
“BMS Organics dan Chef Wan berkongsi satu wawasan murni―membantu rakyat Malaysia supaya menerapkan amalan pemakanan yang sihat serta gaya hidup sihat. Dengan memanfaatkan kesungguhan dan kepakaran Chef Wan dalam bidang kulinari, BMS Organics boleh menyajikan masakan Malaysia yang lazat lagi berkhasiat dengan menggunakan produk organik kami yang mesra alam,” kata COO BMS Organics, Encik Terry Lee di majlis pembukaan rasmi kedai BMS Organics di MidValley Megamall, cawangan terbaru dan ke-43 di negara ini.
BMS Organics dan Chef Wan akan berganding bahu menghidangkan 3 sajian kegemaran rakyat Malaysia, iaitu Nasi Lemak, Laksa Kari Susu Soya Organik dan Asam Laksa Bihun. Ketiga-tiga hidangan ini diberi sentuhan baru yang memikat selera.
“Kita rakyat Malaysia menyukai masakan yang enak, terutamanya kari dan daging, tetapi keghairahan kita terhadap makanan enak telah mencapai tahap yang kurang menyihatkan. Sebagai chef, saya bertanggungjawab membantu warga Malaysia membentuk budaya pemakanan yang sihat,” kata Chef Wan yang terkenal di persada dunia.
Menurut sebuah kajian 2013 oleh jurnal perubatan Lancet di UK, Malaysia telah diklasifikasikan sebagai negara yang mempunyai kadar obesiti yang tertinggi di Asia. Berbanding dengan nisbah global dalam lingkungan 30%, hampir 45% lelaki Malaysia dan 49% wanita Malaysia berberat badan berlebihan atau obes. Obesiti telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor risiko diabetes dan penyakit jantung―pembunuh No. 1 di Malaysia.
“Kita sedia maklum bahawa pemakanan harian kita kekurangan serat. Oleh itu, dalam misi membentuk Malaysia yang lebih sihat, saya telah menambah lebih kebaikan serat dalam masakan kegemaran kita dengan memilih sayur-sayuran dan produk organik daripada BMS Organics,” kata Chef Wan. Beliau juga berkongsi 3 resipinya semasa demonstrasi masakan yang diadakan selepas upacara pembukaan rasmi kedai BMS Organics di MidValley Megamall.
Kurang Daging. Lebih Sihat.
Pada hakikatnya, banyak organisasi kesihatan dunia kini menggalakkan orang ramai mengurangkan pengambilan daging untuk meningkatkan taraf kesihatan.
Sebuah kajian 2010 oleh Jabatan Kesihatan Awam di Universiti Oxford mendapati bahawa mengambil daging untuk tidak lebih daripada 3 kali seminggu boleh mengurangkan 31,000 kematian akibat penyakit jantung, 9,000 kematian akibat kanser dan 5,000 kematian akibat strok. Sebuah kajian oleh Persatuan Diabetes Amerika mendapati bahawa mereka yang mengamalkan pemakanan tanpa daging juga mengalami pengurangan risiko Diabetes Jenis 2.
Oleh sebab makanan organik kaya dengan serat tetapi rendah gula dan lemak, ia boleh membantu mengurangkan risiko kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi yang berpunca daripada pemakanan kurang sihat. Hasil tanaman dan produk yang disahkan organik juga tidak mengandungi racun perosak, perisa tiruan, pewarna dan pengawet. Oleh demikian, makanan organik berupaya membantu mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia yang mengancam kesihatan kita.
Sejajar dengan peningkatan kesedaran mengenai manfaat kesihatan apabila kita mengurangkan pengambilan daging, satu gerakan yang dikenali sebagai Isnin Tanpa Daging atau Meat-Free Monday kini berkembang di seluruh dunia. Gerakan ini menggalakkan orang ramai mengelakkan pemakanan daging pada hari Isnin untuk meningkatkan kesihatan badan dan kesihatan Bumi.
Ini adalah kerana pengeluaran daging menjana hampir 20% gas-gas kesan rumah hijau buatan manusia yang mempercepatkan perubahan iklim dan menggunakan 20 kali lebih bahan api untuk menghasilkan bahan makanan untuk lembu ternakan supaya dapat memperolehi protein daging berbanding dengan protein berasaskan tumbuhan.
“Kerjasama strategik kami dengan Chef Wan merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk menggalakkan Meat-Free Monday. Dengan mengelakkan pengambilan daging pada hari Isnin setiap minggu atau sekali setiap minggu dan menggantikannya dengan hidangan tanpa daging yang lazat dan berkhasiat, kita boleh membawa perubahan besar kepada kesihatan badan dan dunia kita,” kata Terry Lee.
Ketiga-tiga resipi organik Chef Wan yang lazat dan sihat berkhasiat akan disediakan di laman web rasmi BMS Organics.
Nasi Lemak
Resipi Nasi Lemak baru ini mengetengahkan beras ceruh yang diperasakan dengan minyak kelapa, dihidangkan bersama rendang enak berempah segar seperti lengkuas untuk mencegah radikal bebas, serai untuk menggalakkan metabolisme, susu soya untuk menggantikan santan yang berkolesterol tinggi dan kulit tauhu organik (Tou Bao) sebagai pengganti daging.
Laksa Kari Susu Soya Organik
Pes kari resipi ini terdiri daripada adunan lengkuas, kunyit dan cili segar yang dikisar halus. Ia dimasak dengan minyak kelapa murni untuk menggalakkan metabolisme dan mengharumkan lagi hidangan ini. Susu soya organik digunakan untuk menggantikan santan bagi mengurangkan pengambilan kolesterol dan kemungkinan ketidakselesaan perut. Disajikan dengan mi tepung gandum tanpa peluntur atau bihun beras ceruh untuk memuaskan selera tanpa membebankan badan.
Asam Laksa
Tomato segar, puri tomato dan cuka epal sider digunakan sebagai pengganti asam. Epal sider kaya dengan enzim aktif, kalium dan mineral untuk menggalakkan penghadaman dan penyahtoksikan. Disajikan dengan mi tepung gandum tanpa peluntur atau bihun beras.
<< Ketahui lebih lanjut kebaikan daun oregano di sini.
No Comment